30 Disember 2009

KARNIVAL PENDIDIKAN KHAS SK MELEKEK MERIAH


KARNIVAL PENDIDIKAN KHAS SK MELEKEK MERIAH


Oleh: Razman Mohammad

ALOR GAJAH: Seramai 500 murid terdiri warga sekolah SK Melekek, 17 sekolah Program Integrasi Pendidikan Khas Zon Alor Gajah menyertai Karnival Pendidikan Khas Zon Alor Gajah bertempat di dataran perhimpunan SK Melekek.

Pn. Hjh. Misyah Bt Ahmad, berkata matlamat penganjuran karnival ini adalah untuk memberikan pendedahan sebenar bagaimana urusan jual beli dijalankan di samping memupuk semangat muhibbah dan kerjasama dala kalangan murid dan warga SK Melekek.

“Terima kasih kepada semua atas segala usaha dan kerjasama yang diberikan sama ada secara langsung atau tidak langsung bagi memastikan program ini dapat dilaksanakan dengan jayanya”, katanya.

Karnival ini dirasmikan oleh Ketua Sektor Pendidikan Swasta dan Pendidikan Khas, Tn. Hj. Mohamad Safian Bin Siran.

Dalam ucapannya pada majlis itu, beliau mengucapkan syabas dan tahniah kepada pihak sekolah kerana berjaya menganjurkan karnival ini.

Katanya, selain aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas, murid juga wajar diberi pendedahan tentang persekitaran yang lebih kondusif bagi menjana pengetahuan sedia ada mereka. Jesteru, usaha murni yang dilakukan pihak sekolah ini diharap dapat memberi pendedahan kepada murid untuk melibatkan diri dalam bidang keusahawanan pada masa akan datang.

Selain itu, turut serta menjayakan karnival ini ialah penjaga murid-murid pendidikan khas SK Melekek, ahli jawatankuasa PIBG, badan-badan kerajaan seperti Kementerian Kesihatan Alor Gajah, Jabatan Bomba dan Penyelamat Alor Gajah dan Unit Kokurikulum Kem Lanchang, Merlimau, Melaka.

Sepanjang program sehari itu pelbagai gerai jualan dibuka untuk pengunjung. Antaranya gerai makanan, permainan dan pameran oleh pihak kesihatan dan bomba.

Satu kelainan dalam karnival ini ialah terdapatnya aktiviti lasak untuk dicuba pengunjung iaitu Flying Fox.

Sementara itu, Mohd Izzaq Ayob, 31, guru Pendidikan Khas SK Parit Melana, berkata program ini amat memberi manfaat kepada murid kerana pendedahan peringkat awal akan dapat membantu mereka memahami selok belok aktiviti jual beli yang sebenar. Selain itu, aktiviti Flying Fox yang disediakan penganjur memberikan kelainan dan pengalaman baru yang sungguh menyeronokkan.

Dalam majlis itu juga, telah berlangsung majlis perasmian Projek Ternakan Ikan Keli dalam sangkar kanvas yang merupakan projek khas bagi kelas Pendidikan Khas SK Melekek.

Menurut En. Ismail Mat Labis yang juga pencetus idea projek ini, berkata sebagai permulaan, terdapat sebanyak 1000 ekor anak ikan keli yang diternak dalam dua kolam kanvas yang setiap satu kolam 500 ekor ikan.

Hadir sama pada majlis itu adalah Ketua Unit Pendidikan Khas Jabatan Pelajaran Melaka, En. Aziz Bin Mat Lani, Wakil Pegawai Pelajaran Daerah Alor Gajah,Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) SK Melekek, Tn. Hj. Mohd Sharif Bin Ahmad dan mantan Guru Besar SK Melekek, En. Hamzah Bin Othman.

---------------------------------------------------------------------------------------------------------

KETERANGAN GAMBAR.

Gambar 1. Tn. Hj Safian pada majlis perasmian Karnival Pendidikan Khas 2009 di dewan SK Melekak, Alor Gajah.

Gambar 2. Para pengunjung membeli di gerai jualan.

Gambar 3. Murid-murid mencuba mengail ikan di gerai jualan.

Gambar 4. Aktiviti lasak yang mencabar keberanian murid.


14 Disember 2009

PROGRAM KEMBARA KESEDARAN KANSER DUN REMBIA



PROGRAM KEMBARA KESEDARAN KANSER DUN REMBIA


Oleh: Razman Mohammad


ALOR GAJAH: Kira-kira 150 peserta terlibat dalam Program Kembara Kesedaran Kanser anjuran Sekretariat Kebajikan Wanita Umno Melaka bersama Persatuan Kanser Network Selangor dan Wilayah Persekutuan (KanWork) dengan kerjasama Biro Kebajikan Wanita UMNO Bahagian Alor Gajah bertempat di Kompleks Japerun Rembia. Alor Gajah.

Program ini dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Negeri Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kesihatan Negeri Melaka merangkap ADUN kawasan Rembia, YB Datuk Hjh Norpipah bt Abdol.

Dalam ucapannya beliau mengucapkan syabas dan tahniah atas penganjuran program ini dan sekalung terima kasih kepada Sekretariat Kebajikan Wanita Umno Melaka dan ahli jawatankuasa penganjur yang memilih DUN Rembia sebagai destinasi pertama dalam Melaka bagi menjayakan program ini.

Beliau menyeru kepada para peserta agar menimba seberapa banyak ilmu berkaitan penyakit kanser ini agar dapat mencegah daripada terus merebak.

Pengetahuan yang diperoleh melalui perkongsian pengalaman bersama pesakit kanser diharapkan agar dapat disampaikan kepada rakan-rakan agar kita sama-sama dapat menghindari daripada penyakit yang membunuh ini.

Ini bagi memastikan jangka hayat kita akan lebih meningkat dan hidup akan sentiasa ceria, bahagia dan gembira.

Pengerusi Sekretariat Kebajikan Wanita UMNO Melaka, Hasnah Salam dalam ucapan aluannya berkata program ini bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat agar menjaga kesihatan bagi mencegah kanser di samping menjelaskan kepada peserta akan kepentingan membuat pemeriksaan saringan untuk mengesan kanser pada peringkat awal.

Katanya lagi, bagi mereka yang menghidapi kanser, program ini akan memberikan motivasi kepada mereka agar bersemangat untuk menentang kanser dan kembali pulih dengan mendapat rawatan dan nasihat doktor

Antara pengisian yang terdapat dalam program sehari ini ialah taklimat mengenai penyakit kanser, sesi perkongsian pengalaman bersama survivor, sesi pemeriksaan kesihatan percuma oleh LPPKN.

Menurut Pengerusi KanWork, Mazanah Muhamad, KenWork ialah kumpulan sokongan kanser yang menjalankan aktiviti ‘outreach’ atau aktiviti yang mendampingi kamuniti bermatlamat memberikan sokongan dan informasi kepada mereka yang yang telah didiagnos menghidap kanser, sedang menjalani rawatan dan yang sedang menjaga ahli kelauarga atau rakan yang didiagnos kanser.

Pelbagai aktiviti yang dijalankan persatuan ini antaranya kumpulan sokongan, lawatan ke wad, pendidikan komuniti, Pusat Sumber Kanser, program sukarelawan, dan aktiviti riadah dan sosial. Katanya yang ditemui selepas majlis perasmian program.

Soraiya Ramli,55, peserta program berkata program ini sangat bermakna kerana dapat berkomunikasi dan bertukar-tukar fikiran dengan pesakit kanser dan melalui pendedahan ini kita akan mendapat pengetahuan dan maklumat terkini berkaitan penyakit kanser dan boleh merancang program untuk menjaga kesihatan diri.

Jaharah Md Amin, 61, pula berpendapat program seumpama ini amat bagus dilaksanakan terutama di peringkat akar umbi kerana memudahkan orang ramai mendapat maklumat tepat berkaitan penyakit kanser.

Ini juga memberi peluang kepada peserta untuk mendapatkan pemeriksaan percuma melalui perkhidmatan Klinik Bergerak Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) yang disediakan pihak penganjur.

Hadir sama Pengerusi KanWork, Prof. Dr. Mazanah Muhamad, Penyelidik/sukarelawan dari Universiti of Georgia, USA, Prof. Sharan Merriam.

---------------------------------------------------------------------------------------------------

Keterangan gambar.

Gambar 1: NORPIPAH meneliti buku berkaitan penyakit kanser yang disumbangkan Hasnah.

Gambar 2: Peserta program menjalani pemeriksaan kesihatan oleh pegawai LPPKN

Gambar 3: Sebahagian peserta program kembara kesedaran kanser

MAJLIS MERAIKAN PENGISLAMAN KELUARGA AZRIN TIGA.



MAJLIS MERAIKAN PENGISLAMAN KELUARGA AZRIN TIGA.

Oleh:Razman Mohammad

ALOR GAJAH: Seramai tujuh ahli keluarga Azrin Tiga terlibat dalam majlis pengislaman yang telah berlangsung di rumahnya sendiri yang terletak di Kampung Orang Asli Bukit Payung, Taboh Naning, Alor Gajah Melaka.

Mereka yang terlibat adalah Azrin Tiga,34, Midah Bujang,30, Syahiera,13, Syafri,12, Faizah dan Rasidah(kembar), 8, Noranisah,2.

Majlis ini anjuran Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia(JAKIM), Jabatan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Melaka (JHEOA), Japerun DUN Taboh Naning dengan kerjasama JKKK Kampung Orang Asli Bukit Payung.

Dalam majlis tersebut, Setiausaha MAIM , Idrus Md Jani, yang telah menyempurnakan majlis mengislamkan keluarga Azrin turut menyampaikan sumbangan wang zakat saudara baru sebanyak RM500 kepada setiap ahli keluarga Azrin.

Beliau juga turut menyampaikan sumbangan bulanan daripada MAIM berupa barangan harian kepada 10 keluarga Islam di sini.

Idrus memuji langkah Azrin yang memilih Islam sebagai agama baru dan berharap dapat menempuh kehidupan sebagai seorang muslim dengan penuh ketakwaan.

Azrin yang ditemui selepas majlis itu berkata minat untuk memeluk Islam telah timbul dua tahun lepas setelah berbincang dengan isteri dan anak-anak.

Sebelum ini dua adik-beradiknya juga telah memeluk agama Islam.

Beliau memeluk Islam secara ikhlas tanpa paksaan.

Beliau akan mengikuti kelas Fardhu Ain bagi memantapkan lagi pengetahuan tentang agama pada masa depan.

Menurut Pengerusi JKKK Kampung Orang Asli Bukit Payung, Mohd Irwan Redzuan Abdullah, terdapat kira-kira 16 keluarga iaitu kira-kira 61 orang yang telah memeluk Islam daripada 84 keluarga iaitu kira-kira 411 orang yang masih belum memeluk Islam.

Menurutnya lagi, dalam masa terdekat ini terdapat 3 orang lagi yang akan memeluk Islam.

Menurut Mohd Irwan Redzuan lagi, yang juga imam di sini, antara pendekatan yang digunakan untuk menarik minat penduduk di kampung ini untuk memeluk Islam adalah melalui program dan aktiviti kerohanian yang dijalankan secara bersederhana dan penuh hikmah.

Dengan cara ini penduduk dapat melihat sendiri bagaimana keindahan agama Islam diamalkan oleh penganutnya.

Selain itu, bagi memantapkan lagi pengetahuan asas berkaitan agama, aktiviti kelas agama Fardhu Ain untuk golangan dewasa dan kanak-kanak telah dijalankan di surau Al-Ikhwan kampong ini setiap minggu.

Katanya lagi, melalui program keagaamaan yang dijalankan seperti sambutan pada bulan Ramadan, Majlis Hari raya Aidil Fitri dan Aidil Adha telah berjaya menarik minat penduduk dan tertarik untuk memeluk agama Islam.

Dalam majlis ini, YB Datuk Latipah Omar, ADUN Taboh Naning, yang diwakili Penghulu Dewan Undangan Negeri (DUN) Japerun Taboh Naning, Zulkifli Mohd Tahir telah menyampaikan sumbangan berupa barangan harian kepada keluarga Azrin sebagai tanda penghargaan kerana memeluk agama Islam.

Turut berlangsung adalah Majlis Bacaan Yassin selepas selesai majlis.

Turut hadir meraikan keluarga saudara baru ialah Idrus Md Jani Setiausaha MAIM,

Datuk Hj Ahmad Mustafa B Hj Abd Karim, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah, Mohd Leow Abdullah, Pendaftar Mualaf Negeri Melaka, Md Sabran Sidek, pegawai Penggerak Masyarakat JAKIM, Hj. Mansor Yap Abdullah, Pegawai Persatuan Tiong Hua Muslim, Melaka, Jailani Hashim, Pegawai JHEOA Alor Gajah / Jasin, Zulkifli Mohd Tahir, Penghulu DUN Taboh Naning, Mohd Irwan Redzuan Abdullah, Pengerusi JKKK Kampung Orang Asli Bukit Payung.

------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Keterangan gambar.

Gambar 1: Azrin Tiga bersama ahli keluarga sedang mengucapkan dua kalimah syahadah di hadapan Idrus Md Jani

Gambar 2 Idrus Md Jani menyampaikan nasihat dan pesanan kepada Azrin Tiga.

Gambar 3 Mohd Irwan Redzuan Abdullah, Pengerusi JKKK Kampung Orang Asli Bukit Payung.

Gambar 4 Azrin Tiga

MAJLIS BERKHATAN BERAMAI-RAMAI KG. PANCHOR






MAJLIS BERKHATAN BERAMAI-RAMAI KG. PANCHOR

Oleh Razman Mohammad

ALOR GAJAH: Pergerakan Pemuda UMNO Kampung Panchor dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Panchor dan Lembaga Masjid Ar Rahmah Kampung Panchor, Durian Tunggal, baru-baru ini mengadakan Majlis Berkhatan Beramai-ramai di Perkarangan Masjid Ar Rahmah.

Pada majlis itu seramai 20 orang kanak-kanak dipilih untuk mengikuti acara itu. Ia dijalankan secara perubatan moden menggunakan teknik ’Diathermy’ yang disempurnakan Mohd Zabidi Mohd Taha dibantu lima kakitangan daripada Hospital Besar Melaka.

Teknik ini digunakan kerana selamat dan mengambil masa 15 minit untuk disiapkan.

Majlis itu disempurnakan oleh Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah, Abdul Ghafaar Atan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Gadek.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri Durian Tunggal, Ab Wahab Ab Latip, Pengerusi Lembaga Masjid Ar Rahmah, Sidang Omar Rahmad, Ketua UMNO Cawangan Panchor, Johari Ibrahim, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Alor Gajah merangkap Ketua Pemuda Cawangan Kampung Panchor, Baharudin Abu Bakar, Imam 1, Abdul Rahman Jobok, Pengerusi JKKK Kg Panchor, Borhan Md. Ras, Pengerusi JKKK Kg Beringin, Adam Mohamad.

Abdul Ghafaar dalam ucapannya berkata, penganjuran program ini adalah satu usaha murni oleh pergerakan pemuda dalam usaha merapatkan lagi silaturahim sesama mereka.

”Program ini juga dapat mengumpulkan seluruh anggota masyarakat bagi meraikan kanak-kanak agar mereka berasa seronok sekali gus menghilangkan rasa takut. Kita juga berharap pemuda dapat meneruskan program ini pada setiap tahun untuk kebaikan semua pihak” katanya.

”Pada zaman dahulu kita akan berendam di sungai berjam-jam sebelum dikhatankan Tok Mudim menggunakan kaedah tradisonal yang agak menggerunkan. Namun, pada hari ini anak-anak jangan risau kerana perubatan moden lebih selamat, cepat dan tidak menyakitkan,” katanya.

Baharudin yang juga pengerusi program berkata, majlis yang julung kali itu bertujuan mengeratkan hubungan di kalangan masyarakat di samping meraikan kanak-kanak dalam majlis mengikut budaya tradisi masyarakat zaman dulu seperti berarak beramai-ramai, menepung tawar dan mandi beramai-ramai. “Melalui acara ini diharap generasi muda yang mengikutinya dapat menghayati budaya tradisional sekali gus dapat mewarisinya pada masa akan datang,” katanya.

“Program ini diadakan secara bergotong-royong melibatkan seluruh kepimpinan masyarakat termasuk pergerakan UMNO, Wanita, Pemuda dan Puteri Bahagian Alor Gajah dan penduduk kampung bagi menyediakan makanan untuk dihidangkan kepada 250 orang tetamu yang hadir,” katanya.

”Terima kasih kepada pihak yang menjayakan majlis ini seperti JKKK Kampung Panchor, ahli Lembaga Masjid, seluruh kepimpinan pergerakan UMNO, Wanita, Pemuda dan Puteri, penduduk kampung, Jabatan Bomba Alor Gajah, serta Jabatan Kesihatan Negeri Melaka,” katanya.

Sebelum berkhatan peserta diarak dengan bunga manggar dan kemudiannya diadakan majlis menepong tawar dan penyampaian kopiah, beg dan peralatan sekolah serta wang tunai oleh Abdul Ghafaar dan Ab Wahab.

Peserta paling muda yang menyertai majlis ini berusia 5 tahun iaitu Mohd Ikmal Hishamudin.

Seorang peserta Muhamad Soliheen Abd Razak, 10, berkata beliau pada mulanya agak takut, namun sokongan yang diberikan ibu bapa, rakan-rakan dan masyarakat berjaya mengurangkan rasa tertekan dan gementar.

------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Keterangan gambar.

Gambar 1: ABDUL GHAFAAR dan AB WAHAB menepong tawar para peserta berkhatan beramai-ramai di Kampung Panchor disaksikan kepimpinan kampung.

Gambar 2: ABDUL GHAFAAR dan AB WAHAB menyiram para peserta berkhatan beramai-ramai di Kampung Panchor disaksikan pendudk kampung.

Gambar 3: ABDUL GHAFAAR dan AB WAHAB bergambar kenangan bersama kepimpinan kampung dan peserta berkhatan.

Gambar 4: Baharudin Abu Bakar

Gambar 5: BAHARUDIN beramah mesra dengan peserta yang selesai dikhatan.

11 Disember 2009

MAJLIS BERKHATAN BERKELOMPOK KG. BERINGIN




MAJLIS BERKHATAN BERKELOMPOK KG. BERINGIN

Oleh:Razman Mohammad


ALOR GAJAH: Majlis Berkhatan Berkelompok 2009 anjuran Lembaga Masjid Annur Kampung Beringin, Durian Tunggal dengan kerjasama JKKK Kampung Beringin berlangsung dengan meriah bertempat di Perkarangan Masjid Annur.

Seramai 13 orang peserta yang terlibat dalam majlis yang julung kali dianjurkan pihak Lembaga Masjid Annur ini.

Majlis ini turut dihadiri YB Datuk Hj Ab Wahab Bin Hj Ab Latip, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Durian Tunggal.

Terdahulu dalam ucapan perasmian majlis, beliau mengucapkan tahniah dan syabas kepada Pengerusi dan ahli Lembaga Masjid Annur dan JKKK Kg. Beringin kerana berjaya mengadakan majlis ini.

Majlis sebegini dapat mengeratkan silaturahim antara penduduk di samping dapat memupuk semangat bermasyarakat.


Melalui berkhatan beramai-ramai juga mampu menghindari rasa gerun dan takut dalam kalangan kanak-kanak.

Katanya lagi, dengan kemudahan dan teknologi canggih hari ini, urusan berkhatan menjadi lebih mudah dan berkesan.

Beliau juga mengingatkan kepada para ibu bapa akan tanggungjawab dalam mendidik anak-anak agar dapat memberikan tumpuan sepenuhnya agar mereka akan menjadi anak yang cemerlang pada masa akan datang.

Kepada anak-anak diharapkan dapat melalui proses berkhatan dengan tenang dan didoakan semoga cepat sembuh.

Turut hadir Imam 2 Ya’man Murad, ahli jawatankuasa Lembaga Masjid Annur, ahli jawatankuasa JKKK, ahli Wanita, Pemuda, Puteri, ibu bapa dan masyarakat setempat.

Hj Abdul Malik Hj Wan, Pengerusi Lembaga Masjid Annur dalam ucapannya mengucapkan rasa syukur kerana berjaya menganjurkan majlis ini buat julung kalinya. Terima kasih kepada pihak yang menjayakan majlis ini seperti JKKK Kg. Beringin, Jabatan Bomba Alor Gajah, Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) serta Jabatan Kesihatan Negeri Melaka.

Adam Mohamad, Pengerusi JKKK Kg Beringin yang ditemui berkata tujuan diadakan majlis ini adalah untuk mengeratkan hubungan dalam kalangan penduduk di samping dapat meraikan kanak-kanak dalam majlis yang diatur dengan tidak meninggalkan budaya tradisi masyarakat dahulu dalam majlis berkhatan ini seperti berarak beramai-ramai, menepong tawar dan mandi beramai-ramai.

Melalui cara ini kanak-kanak dapat menghayati budaya tradisional agar tidak lekang dek panas dan lapok dek hujan.

Seorang peserta Muhamad Ridhaham Darwis Roslan, 10, berkata saya pada mulanya agak gementar, namun dengan kehadiran ibu bapa dan ahli masyarakat yang memberi sokongan dan meraikan kami dengan adat tradisi, sekali gus mengurangkan rasa takut dan barasa seronok dapat berkhatan bersama rakan-rakan.

Sebelum berkhatan peserta turut diraikan dengan diarak dengan bunga manggar dan kemudiannya diadakan majlis menepong tawar dan penyampaian kain pelikat oleh YB Ab Wahab diikuti oleh ibu bapa peserta masing-masing.

Majlis berkhatan dijalankan secara moden menggunakan Teknik ’Diathermy’ oleh En. Mohd Tahir Hj Ahmad dan En. Mohd Azhari Kasmuni daripada Jabatan Kesihatan Negeri Melaka. Teknik ini digunakan kerana ia cepat dan selamat untuk mengkhatankan seseorang individu dengan hanya mengambil masa 15 minit sahaja.

------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Keterangan gambar.

Gambar 1/2: AB WAHAB sedang menepong tawar para peserta berkhatan berkelompok di Kg. Beringin baru-baru ini.

Gambar 3: AB WAHAB sedang menyiram para peserta berkhatan berkelompok di Kg. Beringin baru-baru ini.

SK DURIAN TUNGGAL CATAT KEPUTUSAN CEMERLANG UPSR 2009


SK DURIAN TUNGGAL CATAT KEPUTUSAN CEMERLANG UPSR 2009.
Oleh:Razman Mohammad

ALOR GAJAH: Seramai 31 orang murid cemerlang dari kawasan DUN Durian Tunggal yang memperoleh 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2009 telah diraikan oleh YB Datuk Haji Ab. Wahab Bin Ab. Latip, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal dalam satu majlis bertempat di SK Durian Tunggal baru-baru ini.

Dalam majlis tersebut YB Datuk Haji Ab. Wahab Bin Ab. Latip, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal hadir bagi menyampaikan sumbangan wang tunai kepada semua murid cemerlang UPSR tahun ini.

Keputusan 5A dicatat oleh SK Durian Tunggal seramai 13 orang, manakala SK Gangsa 8 orang, SK Belimbing Dalam 4 orang, SK Parit Melana 3 orang, SJK (C) Sin Wah 2 orang dan SJK (T) Durian Tunggal 1 orang.

Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Tunggal yang mencatat sejarah tersendiri dalam (UPSR) 2009 apabila seramai 13 orang calon yang menduduki ujian tersebut memperoleh 5A bagi semua mata pelajaran turut menerima sumbangan wang tunai berjumlah RM1000 sebagai hadiah kecemerlangan apabila muncul sekolah terbaik dalam kawasan DUN Durian Tunggal.

Lebih menarik lagi seorang murid yang memperoleh 5A ialah seorang murid orang Asli iaitu Adlyn a/k Jeffson yang berasal dari Kampung Orang Asli Machap Umbo.

Menurut Adlyn, 12, berkata, sokongan ibu bapa dan guru-guru selama ini serta sering belajar secara berkumpulan telah menjadikannya berjaya meraih keputusan yang cemerlang.

Selain itu, bantuan yang diberikan oleh pihak sekolah seperti Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan Skim Baucar Tuisyen (SBT) banyak membantunya untuk mencapai kejayaan.

Adlyn juga seorang murid yang aktif dalam pasukan Tunas Puteri telah mewakili sekolah ke program Perkhemahan peringkat Kebangsaan.

Ab. Wahab yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Negeri Pelajaran, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia dalam ucapannya mengucapkan tahniah kepada semua murid dan guru dalam DUN Durian Tunggal serta warga SK Durian Tunggal khususnya kerana berjaya memperoleh keputusan yang amat membanggakan.

Beliau juga mengucapkan syabas kepada Adlyn kerana merupakan calon orang Asli pertama yang berjaya meraih 5A dalam kawasannya.

“Syabas kepada semua yang berjaya dan teruskan kecemerlangan di peringkat menengah pula. Bagi yang tidak berjaya pula, jangan putus asa dan teruskan berusaha pada masa hadapan kerana peluang masih ada.”

“Beberapa pertemuan dengan guru-guru di peringkat DUN akan diatur bagi mencari pendekatan dan kaedah terbaik untuk meningkatkan lagi kecemerlangan pendidikan bagi sekolah-sekolah di kawasan ini,” katanya.

Terdahulu Guru Besar SK Durian Tunggal, Md Isa Ahmad dalam ucapannya mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua murid dalam DUN Durian Tunggal khususnya kepada 13 orang murid yang berjaya mengharumkan nama sekolah SK Durian Tunggal.

“Terima kasih kepada semua guru yang telah berusaha gigih selama ini dan tidak dilupakan sokongan daripada pihak PIBG yang banyak membantu melahirkan murid cemerlang di sekolah ini”.

Menurutnya lagi, pencapaian dari segi kualiti sekolah ini ialah 5A seramai 13 orang berbanding tahun 2008 seramai 5 orang. Bilangan calon lulus semua mata pelajaran adalah seramai 79 orang daripada 115 calon.

Peratus keseluruhannya meningkat daripada 61.7% kepada 68.7% yang menyaksikan kesemua mata pelajaran mencatat peningkatan.

Turut hadir ialah, Pegawai Jabatan Pelajaran Melaka, Pn. Naziah Ramli, Guru-Guru Besar sekolah sekitar DUN Durian Tunggal, Yang Dipertua PIBG SK Durian Tunggal, Sham Ghani, guru-guru tahun 6 dan ibu bapa.

------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Keterangan gambar.

Gambar 1: Ab. Wahab bergambar kenangan bersama guru dan murid cemerlang DUN Durian Tunggal.

Gambar 2: Ab. Wahab menyampaikan sumbangan kepada Guru Besar SK Durian Tunggal.

Gambar 3: Ab. Wahab menyampaikan sumbangan kepada Adlyn, murid cemerlang orang Asli.


LAWATAN PENANDA ARAS PKG NEGERI MELAKA KE PKG TAMPIN, NEGERI SEMBILAN



LAWATAN PENANDA ARAS PKG NEGERI MELAKA KE PKG TAMPIN, NEGERI SEMBILAN

Oleh:Razman Mohammad


TAMPIN: Seramai 50 orang pegawai dan staf Pusat Kegiatan Guru (PKG) seluruh Melaka terlibat dalam lawatan muhibbah selama satu hari ke PKG Tampin, Gemencheh dan Rembau baru-baru ini.

Menurut ketua rombongan, Abdul Kadir Zainal, tujuan lawatan adalah untuk meningkatkan pemahaman bagi mencambahkan lagi fikiran berkaitan pengurusan di PKG berkenaan di samping dapat meningkatkan keyakinan diri dalam mengurus dan berhadapan dengan pelbagai karenah pelanggan.Tegasnya lagi, melalui lawatan ini juga kepakaran Pegawai Teknologi Pendidikan di semua PKG berkenaan akan dapat dikongsi bersama oleh semua peserta lawatan bagi menghasilkan rumusan dan cadangan bersifat positif dalam kalangan Pegawai Teknologi Pendidikan, Pembantu Tadbir dan Juruteknik Komputer Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN) dan PKG.

Sementara itu, Salwa Sharif, Ketua Pusat Teknologi Pendidikan (PTP) PKG Tampin, berkata PKG Tampin yang terletak di dalam kawasan Sekolah Kebangsaan Tampin merupakan sebuah pusat logistik berkaitan pengajaran dan pembelajaran atau tempat rujukan setempat guru-guru sekolah ahli berkaitan isu-isu penggunaan teknologi dan peningkatan profesional.

Katanya, pihaknya amat mengalu-alukan kunjungan ini dan berharap dapat bertukar-tukar fikiran dan idea bagi memantapkan lagi pengurusan dan pentadbiran PKG. Segala usaha membangunkan dan menceriakan PKG ini mendapat kerjasama baik daripada BTPN Negeri Sembilan.

Tn. Hj. Ismail b. Ibrahim, Penolong Pengarah (PP) BTPN Negeri Sembilan berkata beliau amat terharu dengan kunjungan hormat staf BTPN/PKG Negeri Melaka ini dan berharap para peserta mendapat manfaat daripada perkongsian kepakaran ini.

Tn. Hj. Mohd Nor b. Hj. Abu, Ketua Penolong Pengarah (KPP) BTPN Melaka pula dalam taklimat ringkas kepada para pegawai yang hadir sama dalam lawatan ini berkata semua pengurusan, pentadbiran dan keceriaan setiap PKG yang dilawati akan dijadikan contoh dan penanda aras kepada semua pegawai dan staf PKG Negeri Melaka dalam usaha mentadbir PKG masing-masing ke arah yang lebih mantap dari segi pengurusan dan organisasi PKG itu sendiri.

Katanya lagi, BTPN Melaka sedang merancang satu sistem yang lebih baik pada masa akan datang demi kebaikan sekolah ahli setiap PKG.

Menurut seorang peserta, Syaharum Abdullah, Pusat Teknologi Pendidikan (PTP) PKG 09 Melekek, lawatan ini telah mencapai objektif yang disasarkan dan banyak input berguna yang boleh diterapkan untuk penambahbaikan setiap PKG.

Katanya lagi, kepakaran menguruskan PKG yang dilawati amat membanggakan dan

mengagumkan peserta lawatan dan berharap usaha murni ini dapat diteruskan pada masa

yang akan datang.

Turut hadir Penolong Pengarah(PP) BTPN Melaka, Hj. Amir Basar dan Mohamad

Hafiz Paijo, Pegawai Teknologi Pendidikan (PTP) BTPN Melaka, Hj.Abdul Kadir Zainal

dan Zakaria Muhamad

---------------------------------------------------------------------------------------------------

Keterangan gambar.

Gambar 1: Peserta lawatan bergambar kenangan bersama Ismail sempena lawatan penanda aras ke PKG Tampin, baru-baru ini.

Gambar 2: Ismail menyampaikan cenderahati kepada Mohd Nor


09 Disember 2009

KEJOHANAN FUTSAL TERTUTUP KESIHATAN NEGERI MELAKA 2009




KEJOHANAN FUTSAL TERTUTUP KESIHATAN NEGERI MELAKA 2009

Oleh: Razman Mohammad.

MELAKA: Masyarakat yang sihat dan cergas dan berdisiplin merupakan aset kepada pembangunan negara dalam merealisasikan wawasan 2020 dan Melaka Maju 2010.

Bagi memenuhi hasrat itu, kira-kira 14 pasukan terdiri daripada kakitangan Hospital Besar Melaka, Klinik kerajaan dan swasta seluruh negeri Melaka menyertai kejohanan Futsal Tertutup Kesihatan anjuran Kelab Angkut Hospital Besar Melaka, dekat sini baru-baru ini.

Kejohanan selama satu hari bermula jam 8.00 dan berakhir 5.00 petang itu berlangsung di gelanggang Futsal Sport Planet, Cheng Melaka.

Azman Omar, 36, selaku pengurus kejohanan berkata, kejohanan ini juga merupakan salah satu aktiviti yang berfungsi sebagai medium paling berkesan dalam usaha merapatkan hubungan silaturahim di antara kakitangan kesihatan seluruh negeri Melaka di samping dapat melahirkan masyarakat yang sihat, cegas dan bersatu padu.

Selain itu jelasnya, kejohanan ini merupakan salah satu aktiviti kelab yang terdapat dalam kalender aktiviti tahunan dan berhasrat untuk menjadikannya sebagai aktiviti tahunan pada masa akan datang.

’ Terima kasih kepada pihak penyumbang yang telah menjayakan kejohanan ini dan yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung’

’Kelab ini juga berhasrat untuk mengadakan kejohanan sama terbuka untuk wanita pula’ katanya selepas majlis penyampaian hadiah.

Majlis penyampaian hadiah dan perasmian penutup disempurnakan Tn. Hj. Samson Ahmad, Ketua Penyelaras, Unit Angkut Hospital Besar Negeri Melaka.

Dalam ucapannya, beliau melahirkan rasa bangga dengan penganjuran ini dan mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada pihak pengajur dan ahli jawatankuasa.

Samson Ahmad berkata, program yang diadakan ini juga bersesuaian dan wajar dalam usaha kerajaan untuk melahirkan insan yang aktif, sihat dan cergas sepanjang hayat yang menepati slogan ’Malaysia Cergas’.

Dalam pertandingan ini, johan dimiliki pasukan daripada Hospital Besar Melaka menerima hadiah berupa piala pusingan Tn. Hj. Samson Ahmad, Ketua Penyelaras, Unit Angkut Hospital Besar Negeri Melaka dan wang tunai RM500 manakala naib johan milik pasukan Klinik Kesihatan Alor Gajah menerima hadiah wang tunai RM 250.


----------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Keterangan gambar.

Gambar 1: Azman Omar, Pengurus Kejohanan.

Gambar 2: Pasukan Hospital Besar Melaka johan kejohanan futsal tertutup kesihatan negeri Melaka, baru-baru ini.

Gambar 3: Samson Ahmad menyampaikan hadiah kepada pemenang.





ROTI SEDAP... FNR ENTERPRISE












PRODUK FNR ENTERPRISE
Oleh: Razman Mohammad

Membuat dan menjual berbagai jenis kek, roti, biskut, pizza, pelbagai kuih raya dan lain-lain.

Sedia menerima tempahan untuk majlis perkahwinan, pertunangan, hari jadi, kenduri, hari raya dan lain-lain majlis.

Untuk tempahan, sila hubungi...

NUR HAMIZAH BT ABDUL RAHMAN
Batu 14, Kampung Panchor,
76100 Durian Tunggal,
Melaka.

013-6538786
012-2133632




08 Disember 2009

CENDOL CHE ADI 1MALAYSIA


CENDOL CHE ADI 1MALAYSIA
Oleh: Razman Mohammad

Assalamualaikum...
Ya.. Tuan-tuan dan puan-puan...

Ini satu lagi produk anak tempatan berasal dari Durian Tunggal(DT), iaitu Cendol Che Adi, 1Malaysia, merupakan menantu kepada pemilik gerai Nasi Ayam Kak Esah, yang popular di Durian Tunggal.


Lokasinya di gerai Nasi Ayam Kak Esah, terletak di tengah-tengah pekan Durian Tunggaber sebelahan Balai Polis DT dan berhadapan kedai DMart.


Sekiranya anda nak rasa kelazatan cendol ni, mai la try.

Pasti anda akan kembali lagi untuk mendapatkannya... try.. jangan tak try...
Untuk menikmatinya atau tempahan sila hubungi..






























019-7618131
010-2129511
(Rahdi Ahmad)

LAWATAN DELEGASI DMDI KE INSTITUT BIOTEKNOLOGI MELAKA DAN PLANATARIUM MELAKA



LAWATAN PESERTA KONVENSYEN DMDI KE INSTITUT BIOTEKNOLOGI MELAKA DAN PLANETARIUM MELAKA


Oleh: Razman Mohammad


AYER KEROH: Sempena penutupan Konvensyen Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) kali ke-10, seramai 40 orang peserta terdiri daripada pelajar Universiti Prince of Songkla, Patani, Thailand, Institut Skilltech Durian Tunggal, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dari Sumatra, Indonesia, NGO Sabah dan Sarawak telah mengadakan lawatan ke Institiut Bioteknologi Melaka dan Planetarium Melaka, dekat sini baru-baru ini.

Lawatan yang dianjurkan Biro Pendidikan DMDI itu turut disertai Timbalan Pengerusinya, Dr. Baharudin Puteh, yang juga Timbalan Naib Censelor Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM).

Baharudin berkata, lawatan tersebut dapat memberikan pendedahan berkaitan peranan yang dimainkan institut berkenaan yang merupakan institut pertama ditubuhkan di Negara ini bertujuan mempromosikan Industri berasaskan Bioteknologi.

Katanya lagi, para peserta telah diberikan taklimat oleh Zamry Gafar, Timbalan Pengarah

Institut Bioteknologi Melaka mengenai aktiviti penyelidikan yang dilaksanakan di sini, antaranya bidang biologi molekul, teksikologi, kultur tisu tumbuhan dan bidang kimia serta teknologi makanan.

Selain itu, para peserta turut diberi pendedahan mengenai peranan Perbadanan Bioteknologi Melaka yang menyediakan program pembangunan usahawan melalui pemindahan teknologi dalam bidang makanan dan pertanian, selain memberi khidmat teknikal dalam bentuk khidmat nasihat, perundingan, latihan industri, ujian makmal, pengesahan dan pembangunan produk serta proses peningkatan teknologi.

“Usaha ini juga merupakan wawasan dan hasrat Presiden DMDI yang juga Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang mahukan sistem pendidikan berunsur Sains dan Teknologi diterapkan dalam kalangan pelajar terdiri dari Negara-negara anggota DMDI,” katanya.

Tambahnya, lawatan ini pada masa sama dapat mempromosikan industri pelancongan yang terdapat di negeri ini khususnya berkaitan pendidikan.

Selain itu, jelasnya, lawatan ini juga turut memberikan peluang kepada para peserta untuk melihat lebih dekat Planetarium Melaka yang terbesar dan tercanggih di Malaysia dan Asia Tenggara.

Taklimat berkaitan penerokaan angkasa lepas telah disampaikan oleh kakitangan Planetarium Melaka yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Planetarium Sdn. Bhd, Dr Mohd Aluwi Sari.

Nurul Huda Mohamad, 22, seorang peserta dari Universiti Prince of Songkla, Patani, Thailand, yang ditemui berkata sangat seronok menyertai lawatan ini kerana dapat mengetahui lebih mendalam berkaitan peranan Institut Bioteknologi Melaka dan peluang yang disediakan untuk mengikuti pengajian berkaitan Bioteknologi dengan usahasama Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM).


-----------------------------------------------------------------------------------------------------

keterangan gambar.


Gambar 1: Para peserta lawatan bergambar di hadapan Planetarium Melaka bersama Dr. Baharudin dan Dr. Aluwi

Gambar 2: Peserta lawatan bergambar kenangan bersama Dr. Baharudin di hadapan Institut Bioteknologi Melaka.