MAJLIS BERKHATAN BERKELOMPOK KG. BERINGIN
Oleh:Razman Mohammad
ALOR GAJAH: Majlis Berkhatan Berkelompok 2009 anjuran Lembaga Masjid Annur Kampung Beringin, Durian Tunggal dengan kerjasama JKKK Kampung Beringin berlangsung dengan meriah bertempat di Perkarangan Masjid Annur.
Seramai 13 orang peserta yang terlibat dalam majlis yang julung kali dianjurkan pihak Lembaga Masjid Annur ini.
Majlis ini turut dihadiri YB Datuk Hj Ab Wahab Bin Hj Ab Latip, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Durian Tunggal.
Terdahulu dalam ucapan perasmian majlis, beliau mengucapkan tahniah dan syabas kepada Pengerusi dan ahli Lembaga Masjid Annur dan JKKK Kg. Beringin kerana berjaya mengadakan majlis ini.
Majlis sebegini dapat mengeratkan silaturahim antara penduduk di samping dapat memupuk semangat bermasyarakat.
Melalui berkhatan beramai-ramai juga mampu menghindari rasa gerun dan takut dalam kalangan kanak-kanak.
Katanya lagi, dengan kemudahan dan teknologi canggih hari ini, urusan berkhatan menjadi lebih mudah dan berkesan.
Beliau juga mengingatkan kepada para ibu bapa akan tanggungjawab dalam mendidik anak-anak agar dapat memberikan tumpuan sepenuhnya agar mereka akan menjadi anak yang cemerlang pada masa akan datang.
Kepada anak-anak diharapkan dapat melalui proses berkhatan dengan tenang dan didoakan semoga cepat sembuh.
Turut hadir Imam 2 Ya’man Murad, ahli jawatankuasa Lembaga Masjid Annur, ahli jawatankuasa JKKK, ahli Wanita, Pemuda, Puteri, ibu bapa dan masyarakat setempat.
Hj Abdul Malik Hj Wan, Pengerusi Lembaga Masjid Annur dalam ucapannya mengucapkan rasa syukur kerana berjaya menganjurkan majlis ini buat julung kalinya. Terima kasih kepada pihak yang menjayakan majlis ini seperti JKKK Kg. Beringin, Jabatan Bomba Alor Gajah, Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) serta Jabatan Kesihatan Negeri Melaka.
Adam Mohamad, Pengerusi JKKK Kg Beringin yang ditemui berkata tujuan diadakan majlis ini adalah untuk mengeratkan hubungan dalam kalangan penduduk di samping dapat meraikan kanak-kanak dalam majlis yang diatur dengan tidak meninggalkan budaya tradisi masyarakat dahulu dalam majlis berkhatan ini seperti berarak beramai-ramai, menepong tawar dan mandi beramai-ramai.
Melalui cara ini kanak-kanak dapat menghayati budaya tradisional agar tidak lekang dek panas dan lapok dek hujan.
Seorang peserta Muhamad Ridhaham Darwis Roslan, 10, berkata saya pada mulanya agak gementar, namun dengan kehadiran ibu bapa dan ahli masyarakat yang memberi sokongan dan meraikan kami dengan adat tradisi, sekali gus mengurangkan rasa takut dan barasa seronok dapat berkhatan bersama rakan-rakan.
Sebelum berkhatan peserta turut diraikan dengan diarak dengan bunga manggar dan kemudiannya diadakan majlis menepong tawar dan penyampaian kain pelikat oleh YB Ab Wahab diikuti oleh ibu bapa peserta masing-masing.
Majlis berkhatan dijalankan secara moden menggunakan Teknik ’Diathermy’ oleh En. Mohd Tahir Hj Ahmad dan En. Mohd Azhari Kasmuni daripada Jabatan Kesihatan Negeri Melaka. Teknik ini digunakan kerana ia cepat dan selamat untuk mengkhatankan seseorang individu dengan hanya mengambil masa 15 minit sahaja.
------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Keterangan gambar.
Gambar 1/2: AB WAHAB sedang menepong tawar para peserta berkhatan berkelompok di Kg. Beringin baru-baru ini.
Gambar 3:
Tiada ulasan:
Catat Ulasan