08 Disember 2009

LAWATAN DELEGASI DMDI KE INSTITUT BIOTEKNOLOGI MELAKA DAN PLANATARIUM MELAKA



LAWATAN PESERTA KONVENSYEN DMDI KE INSTITUT BIOTEKNOLOGI MELAKA DAN PLANETARIUM MELAKA


Oleh: Razman Mohammad


AYER KEROH: Sempena penutupan Konvensyen Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) kali ke-10, seramai 40 orang peserta terdiri daripada pelajar Universiti Prince of Songkla, Patani, Thailand, Institut Skilltech Durian Tunggal, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dari Sumatra, Indonesia, NGO Sabah dan Sarawak telah mengadakan lawatan ke Institiut Bioteknologi Melaka dan Planetarium Melaka, dekat sini baru-baru ini.

Lawatan yang dianjurkan Biro Pendidikan DMDI itu turut disertai Timbalan Pengerusinya, Dr. Baharudin Puteh, yang juga Timbalan Naib Censelor Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM).

Baharudin berkata, lawatan tersebut dapat memberikan pendedahan berkaitan peranan yang dimainkan institut berkenaan yang merupakan institut pertama ditubuhkan di Negara ini bertujuan mempromosikan Industri berasaskan Bioteknologi.

Katanya lagi, para peserta telah diberikan taklimat oleh Zamry Gafar, Timbalan Pengarah

Institut Bioteknologi Melaka mengenai aktiviti penyelidikan yang dilaksanakan di sini, antaranya bidang biologi molekul, teksikologi, kultur tisu tumbuhan dan bidang kimia serta teknologi makanan.

Selain itu, para peserta turut diberi pendedahan mengenai peranan Perbadanan Bioteknologi Melaka yang menyediakan program pembangunan usahawan melalui pemindahan teknologi dalam bidang makanan dan pertanian, selain memberi khidmat teknikal dalam bentuk khidmat nasihat, perundingan, latihan industri, ujian makmal, pengesahan dan pembangunan produk serta proses peningkatan teknologi.

“Usaha ini juga merupakan wawasan dan hasrat Presiden DMDI yang juga Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang mahukan sistem pendidikan berunsur Sains dan Teknologi diterapkan dalam kalangan pelajar terdiri dari Negara-negara anggota DMDI,” katanya.

Tambahnya, lawatan ini pada masa sama dapat mempromosikan industri pelancongan yang terdapat di negeri ini khususnya berkaitan pendidikan.

Selain itu, jelasnya, lawatan ini juga turut memberikan peluang kepada para peserta untuk melihat lebih dekat Planetarium Melaka yang terbesar dan tercanggih di Malaysia dan Asia Tenggara.

Taklimat berkaitan penerokaan angkasa lepas telah disampaikan oleh kakitangan Planetarium Melaka yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Planetarium Sdn. Bhd, Dr Mohd Aluwi Sari.

Nurul Huda Mohamad, 22, seorang peserta dari Universiti Prince of Songkla, Patani, Thailand, yang ditemui berkata sangat seronok menyertai lawatan ini kerana dapat mengetahui lebih mendalam berkaitan peranan Institut Bioteknologi Melaka dan peluang yang disediakan untuk mengikuti pengajian berkaitan Bioteknologi dengan usahasama Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM).


-----------------------------------------------------------------------------------------------------

keterangan gambar.


Gambar 1: Para peserta lawatan bergambar di hadapan Planetarium Melaka bersama Dr. Baharudin dan Dr. Aluwi

Gambar 2: Peserta lawatan bergambar kenangan bersama Dr. Baharudin di hadapan Institut Bioteknologi Melaka.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan