30 Disember 2009

KARNIVAL PENDIDIKAN KHAS SK MELEKEK MERIAH


KARNIVAL PENDIDIKAN KHAS SK MELEKEK MERIAH


Oleh: Razman Mohammad

ALOR GAJAH: Seramai 500 murid terdiri warga sekolah SK Melekek, 17 sekolah Program Integrasi Pendidikan Khas Zon Alor Gajah menyertai Karnival Pendidikan Khas Zon Alor Gajah bertempat di dataran perhimpunan SK Melekek.

Pn. Hjh. Misyah Bt Ahmad, berkata matlamat penganjuran karnival ini adalah untuk memberikan pendedahan sebenar bagaimana urusan jual beli dijalankan di samping memupuk semangat muhibbah dan kerjasama dala kalangan murid dan warga SK Melekek.

“Terima kasih kepada semua atas segala usaha dan kerjasama yang diberikan sama ada secara langsung atau tidak langsung bagi memastikan program ini dapat dilaksanakan dengan jayanya”, katanya.

Karnival ini dirasmikan oleh Ketua Sektor Pendidikan Swasta dan Pendidikan Khas, Tn. Hj. Mohamad Safian Bin Siran.

Dalam ucapannya pada majlis itu, beliau mengucapkan syabas dan tahniah kepada pihak sekolah kerana berjaya menganjurkan karnival ini.

Katanya, selain aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas, murid juga wajar diberi pendedahan tentang persekitaran yang lebih kondusif bagi menjana pengetahuan sedia ada mereka. Jesteru, usaha murni yang dilakukan pihak sekolah ini diharap dapat memberi pendedahan kepada murid untuk melibatkan diri dalam bidang keusahawanan pada masa akan datang.

Selain itu, turut serta menjayakan karnival ini ialah penjaga murid-murid pendidikan khas SK Melekek, ahli jawatankuasa PIBG, badan-badan kerajaan seperti Kementerian Kesihatan Alor Gajah, Jabatan Bomba dan Penyelamat Alor Gajah dan Unit Kokurikulum Kem Lanchang, Merlimau, Melaka.

Sepanjang program sehari itu pelbagai gerai jualan dibuka untuk pengunjung. Antaranya gerai makanan, permainan dan pameran oleh pihak kesihatan dan bomba.

Satu kelainan dalam karnival ini ialah terdapatnya aktiviti lasak untuk dicuba pengunjung iaitu Flying Fox.

Sementara itu, Mohd Izzaq Ayob, 31, guru Pendidikan Khas SK Parit Melana, berkata program ini amat memberi manfaat kepada murid kerana pendedahan peringkat awal akan dapat membantu mereka memahami selok belok aktiviti jual beli yang sebenar. Selain itu, aktiviti Flying Fox yang disediakan penganjur memberikan kelainan dan pengalaman baru yang sungguh menyeronokkan.

Dalam majlis itu juga, telah berlangsung majlis perasmian Projek Ternakan Ikan Keli dalam sangkar kanvas yang merupakan projek khas bagi kelas Pendidikan Khas SK Melekek.

Menurut En. Ismail Mat Labis yang juga pencetus idea projek ini, berkata sebagai permulaan, terdapat sebanyak 1000 ekor anak ikan keli yang diternak dalam dua kolam kanvas yang setiap satu kolam 500 ekor ikan.

Hadir sama pada majlis itu adalah Ketua Unit Pendidikan Khas Jabatan Pelajaran Melaka, En. Aziz Bin Mat Lani, Wakil Pegawai Pelajaran Daerah Alor Gajah,Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) SK Melekek, Tn. Hj. Mohd Sharif Bin Ahmad dan mantan Guru Besar SK Melekek, En. Hamzah Bin Othman.

---------------------------------------------------------------------------------------------------------

KETERANGAN GAMBAR.

Gambar 1. Tn. Hj Safian pada majlis perasmian Karnival Pendidikan Khas 2009 di dewan SK Melekak, Alor Gajah.

Gambar 2. Para pengunjung membeli di gerai jualan.

Gambar 3. Murid-murid mencuba mengail ikan di gerai jualan.

Gambar 4. Aktiviti lasak yang mencabar keberanian murid.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan