14 Disember 2009

MAJLIS BERKHATAN BERAMAI-RAMAI KG. PANCHOR






MAJLIS BERKHATAN BERAMAI-RAMAI KG. PANCHOR

Oleh Razman Mohammad

ALOR GAJAH: Pergerakan Pemuda UMNO Kampung Panchor dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Panchor dan Lembaga Masjid Ar Rahmah Kampung Panchor, Durian Tunggal, baru-baru ini mengadakan Majlis Berkhatan Beramai-ramai di Perkarangan Masjid Ar Rahmah.

Pada majlis itu seramai 20 orang kanak-kanak dipilih untuk mengikuti acara itu. Ia dijalankan secara perubatan moden menggunakan teknik ’Diathermy’ yang disempurnakan Mohd Zabidi Mohd Taha dibantu lima kakitangan daripada Hospital Besar Melaka.

Teknik ini digunakan kerana selamat dan mengambil masa 15 minit untuk disiapkan.

Majlis itu disempurnakan oleh Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah, Abdul Ghafaar Atan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Gadek.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri Durian Tunggal, Ab Wahab Ab Latip, Pengerusi Lembaga Masjid Ar Rahmah, Sidang Omar Rahmad, Ketua UMNO Cawangan Panchor, Johari Ibrahim, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Alor Gajah merangkap Ketua Pemuda Cawangan Kampung Panchor, Baharudin Abu Bakar, Imam 1, Abdul Rahman Jobok, Pengerusi JKKK Kg Panchor, Borhan Md. Ras, Pengerusi JKKK Kg Beringin, Adam Mohamad.

Abdul Ghafaar dalam ucapannya berkata, penganjuran program ini adalah satu usaha murni oleh pergerakan pemuda dalam usaha merapatkan lagi silaturahim sesama mereka.

”Program ini juga dapat mengumpulkan seluruh anggota masyarakat bagi meraikan kanak-kanak agar mereka berasa seronok sekali gus menghilangkan rasa takut. Kita juga berharap pemuda dapat meneruskan program ini pada setiap tahun untuk kebaikan semua pihak” katanya.

”Pada zaman dahulu kita akan berendam di sungai berjam-jam sebelum dikhatankan Tok Mudim menggunakan kaedah tradisonal yang agak menggerunkan. Namun, pada hari ini anak-anak jangan risau kerana perubatan moden lebih selamat, cepat dan tidak menyakitkan,” katanya.

Baharudin yang juga pengerusi program berkata, majlis yang julung kali itu bertujuan mengeratkan hubungan di kalangan masyarakat di samping meraikan kanak-kanak dalam majlis mengikut budaya tradisi masyarakat zaman dulu seperti berarak beramai-ramai, menepung tawar dan mandi beramai-ramai. “Melalui acara ini diharap generasi muda yang mengikutinya dapat menghayati budaya tradisional sekali gus dapat mewarisinya pada masa akan datang,” katanya.

“Program ini diadakan secara bergotong-royong melibatkan seluruh kepimpinan masyarakat termasuk pergerakan UMNO, Wanita, Pemuda dan Puteri Bahagian Alor Gajah dan penduduk kampung bagi menyediakan makanan untuk dihidangkan kepada 250 orang tetamu yang hadir,” katanya.

”Terima kasih kepada pihak yang menjayakan majlis ini seperti JKKK Kampung Panchor, ahli Lembaga Masjid, seluruh kepimpinan pergerakan UMNO, Wanita, Pemuda dan Puteri, penduduk kampung, Jabatan Bomba Alor Gajah, serta Jabatan Kesihatan Negeri Melaka,” katanya.

Sebelum berkhatan peserta diarak dengan bunga manggar dan kemudiannya diadakan majlis menepong tawar dan penyampaian kopiah, beg dan peralatan sekolah serta wang tunai oleh Abdul Ghafaar dan Ab Wahab.

Peserta paling muda yang menyertai majlis ini berusia 5 tahun iaitu Mohd Ikmal Hishamudin.

Seorang peserta Muhamad Soliheen Abd Razak, 10, berkata beliau pada mulanya agak takut, namun sokongan yang diberikan ibu bapa, rakan-rakan dan masyarakat berjaya mengurangkan rasa tertekan dan gementar.

------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Keterangan gambar.

Gambar 1: ABDUL GHAFAAR dan AB WAHAB menepong tawar para peserta berkhatan beramai-ramai di Kampung Panchor disaksikan kepimpinan kampung.

Gambar 2: ABDUL GHAFAAR dan AB WAHAB menyiram para peserta berkhatan beramai-ramai di Kampung Panchor disaksikan pendudk kampung.

Gambar 3: ABDUL GHAFAAR dan AB WAHAB bergambar kenangan bersama kepimpinan kampung dan peserta berkhatan.

Gambar 4: Baharudin Abu Bakar

Gambar 5: BAHARUDIN beramah mesra dengan peserta yang selesai dikhatan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan