11 Disember 2009

SK DURIAN TUNGGAL CATAT KEPUTUSAN CEMERLANG UPSR 2009


SK DURIAN TUNGGAL CATAT KEPUTUSAN CEMERLANG UPSR 2009.
Oleh:Razman Mohammad

ALOR GAJAH: Seramai 31 orang murid cemerlang dari kawasan DUN Durian Tunggal yang memperoleh 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2009 telah diraikan oleh YB Datuk Haji Ab. Wahab Bin Ab. Latip, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal dalam satu majlis bertempat di SK Durian Tunggal baru-baru ini.

Dalam majlis tersebut YB Datuk Haji Ab. Wahab Bin Ab. Latip, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal hadir bagi menyampaikan sumbangan wang tunai kepada semua murid cemerlang UPSR tahun ini.

Keputusan 5A dicatat oleh SK Durian Tunggal seramai 13 orang, manakala SK Gangsa 8 orang, SK Belimbing Dalam 4 orang, SK Parit Melana 3 orang, SJK (C) Sin Wah 2 orang dan SJK (T) Durian Tunggal 1 orang.

Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Tunggal yang mencatat sejarah tersendiri dalam (UPSR) 2009 apabila seramai 13 orang calon yang menduduki ujian tersebut memperoleh 5A bagi semua mata pelajaran turut menerima sumbangan wang tunai berjumlah RM1000 sebagai hadiah kecemerlangan apabila muncul sekolah terbaik dalam kawasan DUN Durian Tunggal.

Lebih menarik lagi seorang murid yang memperoleh 5A ialah seorang murid orang Asli iaitu Adlyn a/k Jeffson yang berasal dari Kampung Orang Asli Machap Umbo.

Menurut Adlyn, 12, berkata, sokongan ibu bapa dan guru-guru selama ini serta sering belajar secara berkumpulan telah menjadikannya berjaya meraih keputusan yang cemerlang.

Selain itu, bantuan yang diberikan oleh pihak sekolah seperti Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan Skim Baucar Tuisyen (SBT) banyak membantunya untuk mencapai kejayaan.

Adlyn juga seorang murid yang aktif dalam pasukan Tunas Puteri telah mewakili sekolah ke program Perkhemahan peringkat Kebangsaan.

Ab. Wahab yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Negeri Pelajaran, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia dalam ucapannya mengucapkan tahniah kepada semua murid dan guru dalam DUN Durian Tunggal serta warga SK Durian Tunggal khususnya kerana berjaya memperoleh keputusan yang amat membanggakan.

Beliau juga mengucapkan syabas kepada Adlyn kerana merupakan calon orang Asli pertama yang berjaya meraih 5A dalam kawasannya.

“Syabas kepada semua yang berjaya dan teruskan kecemerlangan di peringkat menengah pula. Bagi yang tidak berjaya pula, jangan putus asa dan teruskan berusaha pada masa hadapan kerana peluang masih ada.”

“Beberapa pertemuan dengan guru-guru di peringkat DUN akan diatur bagi mencari pendekatan dan kaedah terbaik untuk meningkatkan lagi kecemerlangan pendidikan bagi sekolah-sekolah di kawasan ini,” katanya.

Terdahulu Guru Besar SK Durian Tunggal, Md Isa Ahmad dalam ucapannya mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua murid dalam DUN Durian Tunggal khususnya kepada 13 orang murid yang berjaya mengharumkan nama sekolah SK Durian Tunggal.

“Terima kasih kepada semua guru yang telah berusaha gigih selama ini dan tidak dilupakan sokongan daripada pihak PIBG yang banyak membantu melahirkan murid cemerlang di sekolah ini”.

Menurutnya lagi, pencapaian dari segi kualiti sekolah ini ialah 5A seramai 13 orang berbanding tahun 2008 seramai 5 orang. Bilangan calon lulus semua mata pelajaran adalah seramai 79 orang daripada 115 calon.

Peratus keseluruhannya meningkat daripada 61.7% kepada 68.7% yang menyaksikan kesemua mata pelajaran mencatat peningkatan.

Turut hadir ialah, Pegawai Jabatan Pelajaran Melaka, Pn. Naziah Ramli, Guru-Guru Besar sekolah sekitar DUN Durian Tunggal, Yang Dipertua PIBG SK Durian Tunggal, Sham Ghani, guru-guru tahun 6 dan ibu bapa.

------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Keterangan gambar.

Gambar 1: Ab. Wahab bergambar kenangan bersama guru dan murid cemerlang DUN Durian Tunggal.

Gambar 2: Ab. Wahab menyampaikan sumbangan kepada Guru Besar SK Durian Tunggal.

Gambar 3: Ab. Wahab menyampaikan sumbangan kepada Adlyn, murid cemerlang orang Asli.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan