14 Disember 2009

MAJLIS MERAIKAN PENGISLAMAN KELUARGA AZRIN TIGA.



MAJLIS MERAIKAN PENGISLAMAN KELUARGA AZRIN TIGA.

Oleh:Razman Mohammad

ALOR GAJAH: Seramai tujuh ahli keluarga Azrin Tiga terlibat dalam majlis pengislaman yang telah berlangsung di rumahnya sendiri yang terletak di Kampung Orang Asli Bukit Payung, Taboh Naning, Alor Gajah Melaka.

Mereka yang terlibat adalah Azrin Tiga,34, Midah Bujang,30, Syahiera,13, Syafri,12, Faizah dan Rasidah(kembar), 8, Noranisah,2.

Majlis ini anjuran Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia(JAKIM), Jabatan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Melaka (JHEOA), Japerun DUN Taboh Naning dengan kerjasama JKKK Kampung Orang Asli Bukit Payung.

Dalam majlis tersebut, Setiausaha MAIM , Idrus Md Jani, yang telah menyempurnakan majlis mengislamkan keluarga Azrin turut menyampaikan sumbangan wang zakat saudara baru sebanyak RM500 kepada setiap ahli keluarga Azrin.

Beliau juga turut menyampaikan sumbangan bulanan daripada MAIM berupa barangan harian kepada 10 keluarga Islam di sini.

Idrus memuji langkah Azrin yang memilih Islam sebagai agama baru dan berharap dapat menempuh kehidupan sebagai seorang muslim dengan penuh ketakwaan.

Azrin yang ditemui selepas majlis itu berkata minat untuk memeluk Islam telah timbul dua tahun lepas setelah berbincang dengan isteri dan anak-anak.

Sebelum ini dua adik-beradiknya juga telah memeluk agama Islam.

Beliau memeluk Islam secara ikhlas tanpa paksaan.

Beliau akan mengikuti kelas Fardhu Ain bagi memantapkan lagi pengetahuan tentang agama pada masa depan.

Menurut Pengerusi JKKK Kampung Orang Asli Bukit Payung, Mohd Irwan Redzuan Abdullah, terdapat kira-kira 16 keluarga iaitu kira-kira 61 orang yang telah memeluk Islam daripada 84 keluarga iaitu kira-kira 411 orang yang masih belum memeluk Islam.

Menurutnya lagi, dalam masa terdekat ini terdapat 3 orang lagi yang akan memeluk Islam.

Menurut Mohd Irwan Redzuan lagi, yang juga imam di sini, antara pendekatan yang digunakan untuk menarik minat penduduk di kampung ini untuk memeluk Islam adalah melalui program dan aktiviti kerohanian yang dijalankan secara bersederhana dan penuh hikmah.

Dengan cara ini penduduk dapat melihat sendiri bagaimana keindahan agama Islam diamalkan oleh penganutnya.

Selain itu, bagi memantapkan lagi pengetahuan asas berkaitan agama, aktiviti kelas agama Fardhu Ain untuk golangan dewasa dan kanak-kanak telah dijalankan di surau Al-Ikhwan kampong ini setiap minggu.

Katanya lagi, melalui program keagaamaan yang dijalankan seperti sambutan pada bulan Ramadan, Majlis Hari raya Aidil Fitri dan Aidil Adha telah berjaya menarik minat penduduk dan tertarik untuk memeluk agama Islam.

Dalam majlis ini, YB Datuk Latipah Omar, ADUN Taboh Naning, yang diwakili Penghulu Dewan Undangan Negeri (DUN) Japerun Taboh Naning, Zulkifli Mohd Tahir telah menyampaikan sumbangan berupa barangan harian kepada keluarga Azrin sebagai tanda penghargaan kerana memeluk agama Islam.

Turut berlangsung adalah Majlis Bacaan Yassin selepas selesai majlis.

Turut hadir meraikan keluarga saudara baru ialah Idrus Md Jani Setiausaha MAIM,

Datuk Hj Ahmad Mustafa B Hj Abd Karim, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah, Mohd Leow Abdullah, Pendaftar Mualaf Negeri Melaka, Md Sabran Sidek, pegawai Penggerak Masyarakat JAKIM, Hj. Mansor Yap Abdullah, Pegawai Persatuan Tiong Hua Muslim, Melaka, Jailani Hashim, Pegawai JHEOA Alor Gajah / Jasin, Zulkifli Mohd Tahir, Penghulu DUN Taboh Naning, Mohd Irwan Redzuan Abdullah, Pengerusi JKKK Kampung Orang Asli Bukit Payung.

------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Keterangan gambar.

Gambar 1: Azrin Tiga bersama ahli keluarga sedang mengucapkan dua kalimah syahadah di hadapan Idrus Md Jani

Gambar 2 Idrus Md Jani menyampaikan nasihat dan pesanan kepada Azrin Tiga.

Gambar 3 Mohd Irwan Redzuan Abdullah, Pengerusi JKKK Kampung Orang Asli Bukit Payung.

Gambar 4 Azrin Tiga

Tiada ulasan:

Catat Ulasan